salam...


Ahad, 6 November 2011

uJIAN aLLAH...

Ujian atau dugaan yang datang adalah dari ALLAH, sama ada ujian itu sebagai ‘kifarah’ dosa  yang telah kita lakukan atau untuk mengangkat darjat kita di sisi-Nya.
ALLAH juga tidak menduga hamba-hamba-Nya tanpa mengambil kira kesanggupannya atau keupayaan mereka untuk menghadapinya, ujian dan dugaan yang diturunkan ALLAH kepada hambanya adalah seiring dengan keupayaan individu itu untuk menyelesaikan masalahnya.Ini bersesuaian dengan firman ALLAH :
"ALLAH tidak membebankan seseorang melainkan dengan            kesanggupannya”.
(Al-Baqarah : 286)

Oleh itu sekiranya kita berhadapan dengan masalah, cubalah bawa bertenang, bersabar dan setkan dalam minda bahawa kita sedang diuji oleh ALLAH, orang yg melepasi ujian itu adalah orang yg berjaya dan mendapat kedudukan yg mulia di sisi ALLAH.

“Sesungguhnya ALLAH telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan Syurga untuk mereka.”

(At-Taubah : 111)
CARA MENGATASI MASALAH

1. Sandarkan Harapan Pada ALLAH
Setiap ujian yang datang sebenarnya mempunyai banyak hikmah di sebaliknya. Yakinlah bahawa setiap kesusahan yang kita tempuhi pasti akan diganti dengan kesenangan. Ini bersesuaian dengan firman ALLAH dalam surah al-Nasyrah ayat 1hingga 8 yang antara lain maksudnya
“ …Sesungguhnya selepas kesulitan itu pasti ada kemudahan….”
“Cukuplah ALLAH bagiku. Tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakal.”

(At-Taubah : 129)
2. Minta Pertolongan Dari ALLAH
“Dan mintalah pertolongan (kepada ALLAH) dengan jalan yang sabar dan dengan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” 

(Al-Baqarah : 45)
3. Jangan Sedih dan Kecewa
“Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman.”

(Al-Imran : 139)
Yakinlah dengan janji ALLAH itu dan jangan cepat putus asa dengan masalah yang dihadapi sebaliknya tingkatkan usaha dan kuatkan semangat untuk mengatasinya, lihat maksud firman ALLAH di bawah:
“ …dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat ALLAH melainkan kaum yang kafir”
 (Yusuf : 12)

4. Luahkan masalah tersebut pada teman-teman yang dipercayai, walaupun dia mungkin tidak dapat membantu, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban yg kamu tanggung.

5. Bandingkan masalah kita dengan masalah orang lain, mungkin masalah orang lebih besar dari masalah kita, perkara ini juga boleh membuatkan kita lebih tenang ketika menyelesaikan masalah.

Ujian yang datang juga tandanya ALLAH sayangkan kita. Jadi ambillah masa untuk menilai diri dan meningkatkan ketakwaan kita kepada ALLAH dalam apa jua yang kita lakukan. Lakukanlah untuk mencari redha ALLAH.

Fikir dengan positif bahawa setiap dugaan datang dari ALLAH dan pasti ada hikmah yang tersendiri.
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. ALLAH mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”

(Al-Baqarah : 216)

Khamis, 3 November 2011

mUFLIS dI aKHIRAT...

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : “Tahukah kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu?” Lalu jawab sahabat: “Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta.” Lantas Baginda S.A.W. bersabda :
“Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat. Dia juga (dalam masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh), dan memukul orang. Lalu diberi segala kebajikan itu kepadanya dan ini adalah kebajikan-kebajikannya. Maka jika telah habis pahala kebajikannya sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yg dihina, disakiti dan dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosanya itu akan dilemparkan kepadanya, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka.” 
(Hadith Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith itu, dapat kita fahami bahawa golongan yang menjadi muflis pada akhirat adalah berasal daripada orang yang memiliki pahala yang banyak. Bagaimanapun, semua pahala ibadat mereka itu habis kerana digunakan sebagai bayaran ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikhianati, dihina, dibunuh atau dizaliminya. Alangkah ruginya golongan muflis ini. Ganjaran pahala yang mereka kumpul dengan mengerjakan bermacam ibadat, akhirnya menjadi barang tukaran kerana denda yang perlu mereka bayar disebabkan kesalahan mereka terhadap orang lain.

Meskipun kita malu jika isytiharkan muflis di dunia ini, namun kita masih lagi beruntung kalau dibandingkan dengan situasi muflis di akhirat. Jika muflis di dunia, masih ada lagi orang yang bersimpati dan dapat membantu kita. Tetapi bagaimana pula hal keadaan kita apabila muflis di akhirat? Siapakah yang akan bersimpati? Siapakah yang bakal menolong kita dan siapakah pula yang akan menyelamatkan kita dari azab seksaan neraka ALLAH? Kuat beribadah dan memiliki pahala yang banyak tidak menjamin terpeliharanya seseorang itu daripada azab ALLAH jika pada masa sama dia masih melakukan penganiayaan, penindasan dan kezaliman kepada insan lain.

Firman ALLAH bermaksud :
 “Pada hari itu Kami akan tutup mulut mereka dan memberi peluang tangan mereka memberitahu Kami (mengenai kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi terhadap apa yang sudah mereka perbuatkan (ketika hidup di dunia).” 

(Surah Yaasin ayat 65)

Selain itu, kita juga diingatkan agar bertanggungjawab terhadap amanah keluarga iaitu isteri dan anak-anak. Dibimbangi di akhirat kelak, mereka akan menuntut segala pertanggungjawaban yang tidak kita tunaikan kepada mereka. Tanggungjawab memberi mereka ilmu, pendidikan, perlindungan, makanan, kesihatan dan sebagainya akan dipersoalkan kepada kita sama ada terlaksana atau terabai. Jika kita perhatikan realiti hari ini, berapa ramai ibu bapa yang selalu solat berjemaah di masjid, mendengar ceramah, menghadiri kelas pengajian agama dan melakukan pelbagai amal kebajikan, sedangkan anak mereka terbiar tanpa mendapat pendidikan agama sempurna, terbabit dengan jenayah, gejala sosial, maksiat dan kegiatan kemungkaran?

Golongan ibu bapa seperti ini mengerjakan amal ibadat dengan penuh kesungguhan, tetapi mereka beribadah dalam situasi yang kurang bijak. Mereka lupa bahawa tanggungjawab memberikan pendidikan agama terhadap anak-anak juga ibadat besar dan mulia. Jika amanah dan tanggungjawab ini sengaja dibiarkan terabai, dikhuatiri ia akan menjadi penghalang untuk seseorang hamba itu memasuki syurga ALLAH, walaupun memiliki banyak pahala hasil daripada amal ibadatnya.

Oleh itu marilah kita memohon kemaafan kepada orang yang kita sakiti, aniayai, hina dan pelbagai perbuatan buruk yang telah dilakukan  dengan menghayati satu hadith dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
“Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.”
 (Hadith Riwayat Bukhari)

Rabu, 2 November 2011

sYUKUR...

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah pedih” (Surah Ibrahim : 7)
Tafsiran ringkas: Setiap detik kita menggunakan nikmat kurniaan ALLAH, amat sedikit yang menyedarinya, apa lagi untuk mengsyukuri akan kurniaan itu. Kurniaan ALLAH tidak terhitung.
“Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat ALLAH, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya.” 
(Surah An-Nahl : 18)
Adakah kita tergolong dari golongan yang bersyukur? ALLAH menjelaskan
“Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur”
(Surah Yusuf:38).
Ingatlah, ALLAH mengurniakan nikmat kepada seluruh makhlukNya semata-mata untuk disyukuri, bukan untuk dikhianati. Sesungguhnya ALLAH pemberi nikmat sebenar yang menjanjikan tambahan nikmat kepada mereka yang bersyukur dan azab seksa amat pedih bagi mereka yang kufur. Mungkin sahaja selama ini kita menjalani kehidupan tanpa ada rasa syukur, atau rasa syukur yang amat sedikit. Manusia sering merasakan bahawa apa yang dimiliki adalah hasil usaha dan menjadi hak mutlak mereka. Kerana itu apabila sesuatu keinginan tidak dapat dicapai atau diperolehi kita mudah berasa kesal. Malah mungkin juga kecewa, lalu menyalahkan takdir dan mencari-cari kesalahan orang lain. Itu adalah akibat gersang rasa syukur dalam diri manusia.

Syukur, inilah satu perasaan yang jarang melekat di hati kita. Malah kita kerap kali lupa dan alpa. Mulai sekarang, ketahuilah bahawa sebenarnya kita adalah orang yang sangat bertuah, baik dalam pelajaran, keluarga, ekonomi, politik mahupun dalam kehidupan sehari-hari. Maka sewajarnyalah untuk kita syukuri. Masih ragu?

Jika kita tidak pernah mengalami kesengsaraan kerana peperangan, masih dapat mengunjungi masjid dan mengamalkan amal ibadah tanpa rasa takut diancam, dicederakan atau dibunuh. Jika kita masih dapat hadir ke sekolah, kolej atau universiti, dapat membaca akhbar, majalah dan melayari internet. Maka kita masih bertuah dari sebahagian penduduk dunia yang lain. Sebahagian mereka hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan. Sejuk dan kelaparan. Sukar beribadah secara terang-terangan. Anak-anak kecil tidak pernah kenal erti sekolah jauh sekali untuk membaca atau memegang komputer. Masih lagi kita enggan bersyukur?

Dalam Hadith Riwayat Imam Tirmidzi menyatakan: “Dua perkara apabila dimiliki oleh seseorang dia dicatat oleh ALLAH sebagai orang yang bersyukur dan sabar. Dalam urusan agama dia melihat kepada yang lebih tinggi lalu meniru dan mencontohinya. Dalam urusan dunia dia melihat kepada yang lebih bawah lalu bersyukur kepad ALLAH bahawa dia masih diberi kelebihan.”

Syukur boleh diertikan sebagai rasa terima kasih atas sesuatu anugerah atau kurnian dengan rasa senang dihati, ucapan puji-pujian dan melakukan yang terbaik sebagai tanda menghargai suatu anugerah atau kurnian itu. Pemberi anugerah dan kurnian itu ialah ALLAH, Tuhan yang maha agung dan tiada sekutu bagiNya. Pemilik segala yang di langit dan dibumi dan isi di antara kedua-duanya. Syukur itu bukan hanya dengan kata-kata tetapi juga dengan perbuatan. Maka para ulama memaknakan syukur itu “perbuatan yang menuju kepada pengagungan yang memberi nikmat iaitu ALLAH”.
Bersyukurlah hari ini :

- Sebelum kita berkata yg tidak baik, fikirkan tentang seseorang yg tidak boleh berkata-kata sama sekali.
-Sebelum kita mengeluh tentang rasa dari makanan, fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.
-Sebelum kita mengeluh tidak punya apa-apa, fikirkan tentang seseorang g meminta-minta di jalanan.
-Sebelum kita mengeluh bahawa kita buruk, fikirkan tentang seseorang yang berada pada tingkat yang terburuk di dalam hidupnya.
-Sebelum kita mengeluh tentang suami atau isteri, fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada ALLAH untuk diberikan teman hidup
-Hari ini sebelum kita mengeluh tentang hidup, fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.
-Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak, fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya mandul.
-Sebelum kita mengeluh tentang rumah yang kotor karena pembantu tidak mengerjakan tugasnya, fikirkan tentang orang-orang yang tinggal dijalanan.
-Sebelum kita mengeluh tentang jauh perjalanan dengan memandu kereta, fikirkan tentang seseorang yang menempuh jarak yang sama dengan berjalan.
-Dan disaat kita penat dan mengeluh tentang pekerjaan, fikirkan tentang orang yang menganggur atau orang-orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti anda.
-Sebelum kita menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain, ingatlah bahawa tidak ada seorangpun yang tidak pernah melakukan kesilapan dan kesalahan.

Kufur adalah sifat yang berlawanan dengan syukur. Kufur pada bahasa ialah menutupi manakala pada istilah kufur bemaksud tidak beriman dengan ALLAH dan Rasul-Nya dengan mendustakannya (contoh : mengatakan solat itu tidak wajib) atau tidak mendustakan (contoh : tahu solat itu wajib tetapi tidak menunaikan tuntutan solat itu). Manakala kufur nikmat ialah mengunakan nikmat yang dikurnia oleh ALLAH ke jalan kemaksiatan yang tidak diredhai olehNya. Mata digunakan untuk melihat perkara-perkara maksiat, lidah digunakan untuk mengata dan mengumpat, tangan digunakan untuk mencuri. Maka segala cara mempergunakan nikmat anugerah & kurnian ALLAH ke jalan yg salah dan batil itu dinamakan kufur.

Orang-orang yang kufur dibenci oleh ALLAH. Orang yang dibenci ALLAH, maka ALLAH menjanjikan balasan azab yang amat pedih. Kejayaan dan kebahagian sangat erat dengan orang yang bersyukur. Kerana Allah menjanjikan penambahan nikmat apabila kita bersyukur. Ayat ini menganjurkan kita supaya sentiasa bersyukur dengan memperbanyakkan memuji-muji ALLAH atau atau berkata “alhamdulilah” sebanyak-banyaknya, bahkan sampai ribuan atau jutaan kali sehari. Bukan hanya untuk memperoleh ganjaran pahala. Tetapi mengingatkan kita akan kasih sayang ALLAH kepada kita, dan tidak berbuat sesuatu yang dimurkai dan dibenci oleh ALLAH. Ingatlah bahawa ALLAH telah menjanjikan penambahan nikmatNya jika kita bersyukur. Tentunya ia sebagai modal untuk berjaya, tenang dan bahagia.
Ada tiga manfaat besar dari bersyukur. Kedua manfaat ini akan mengubah hidup kita jika kita mendapatkannya.

-Pahala dari ALLAH. Jelas, bersyukur adalah perintah ALLAH, kita akan mendapatkan pahala jika kita bersyukur dengan ikhlas.
-Menciptakan rasa tenang, bahagia dan gembira. Dengan bersyukur akan membuatkan kita lebih bahagia. Lebih tenang. Lebih gembira. Perasaan kita menjadi lebih tenteram dan segar dengan bersyukur. Fikiran kita akan berfokus pada berbagai kebaikan yang kita terima dan nikmati.
-Kekayaan akan bertambah kerana itu janji ALLAHALLAH akan akan tambah nikmatNya kepada sesiapa yang bersyukur.

Bersyukurlah sebelum terlambat, sebelum apa yang kita miliki hilang lenyap. Sebelum apa yang kita ada meninggalkan kita. Sebelum kita tidak punya apa-apa. Peka terhadap nikmat yang kita kecapi. Merasakan kehadirannya. Mengagungkan pemberi nikmat itu iaitu ALLAH. Tuhan sekalian alam. Yang Maha Pengasih dan Maha Mengasihani.

Dengan bersyukur nikmat akan bertambah, rezeki akan melimpah, hidup penuh barokah. Kaya dan bahagia dengan bersyukur. Sudahkah kita bersyukur hari ini?